Bersama hari-hari semalam yang penuh luka, kulalui hidup ini walaupun penuh derita dan sengsara.. Ya, hari semalam telah mengenalkanku akan erti sebuah derita percintaan. Percintaan yang pada mulanya mengajar aku erti kebahagiaan mencintai dan dicintai, akhirnya memaksa aku menelan pahit getirnya perpisahan yang tak terduga.
Bukan kupinta pertemuan jika akhirnya perpisahan yang mendatang. Bukan kurayu untuk diriku dicintai jika akhirnya aku ditinggalkan. Benarkah kata janji itu hanya manis di mulut tetapi menjadi racun berbisa jika ia tidak dikotakan. Ataukah aku yang terlalu berharap untuk memiliki hatimu sedangkan engkau hanya ingin memainkan perasaanku? Butakah cintaku atau bersalahkah diriku yang terlalu mengharapkanmu untuk mengisi bunga-bunga cinta disegenap ruang hatiku.
Kutahu cinta bukannya paksaan dan paksaan dalam bercinta hanya membuat hati merana tapi cinta kita bukannya paksaan. Kita saling cinta mencintai namun hatiku merana jua.Benarlah kata-kata orang tua, cinta yang tidak disirami dengan bunga-bunga keikhlasan dan kejujuran akan menemui kegagalan. Apakah aku saja yang penuh ikhlas dan jujur mencintai dirimu sedangkan kau dengan sewenang-wenangnya membunuh segala keikhlasan dan kejujuran dalam bercinta. Jika sesungguhnya dihatimu benar ada cinta untukku tetapi mengapa hatiku dilukai? Sedarkah kau bahawa luka yang engkau tinggalkan terlalu dalam dan amat sukar untuk aku membalutnya kembali. Aku tak tahu adakah aku mampu untuk menyembuhkan luka yang amat dalam itu.
Jika dihatimu hanya ada dendam untuk menyakiti hati perempuan seperti aku, padamkanlah ia kerana kelak ia akan membakar dirimu jua. Siramilah api dendammu dengan kesejukan cinta seorang wanita. Mungkin kau pernah mengalami betapa deritanya sebuah cinta yang tak kesampaian. Tetapi mengapa kau melakukannya pada sebuah hati suci yang amat mencintaimu? Sedarlah engkau sebelum engkau dilukai buat kali kedua kerana kepedihan dari kelukaan amat seksa sekali untuk engkau menanggungnya. Cukuplah sekali hati dilukai kerana luka untuk kedua kali hanya membuat diri serik untuk bercinta.
Cinta dicipta dan dianugerahkan kepada setiap hati insan bukan untuk dimungkiri kemudian ditinggalkan begitu saja. Cinta perlu dibelai dan dibaja dengan kemesraan dan kasih sayang. Tetapi jika hati telah tertutup untuk bercinta lagi, jangan sakiti dan lukai hati orang yang mencintaimu. Kelukaan yang engkau tinggalkan buatku, sesungguhnya telah mendewasakanku.
Terima kasih atas kelukaan itu, akan kurawat ia walaupun amat sukar untuk aku melakukannya.. Doaku semoga akan terbuka hatimu untuk mencintai seseorang dengan keikhlasan dan kejujuran yang hakiki.. Walaupun kelak gadis itu bukannya aku… Terima Kasih atas segala-galanya…